Monday, February 17, 2014

Novel oh Novel!


Sepanjang hari ini ditemani air mata yang berjejeran keluar tatkala proses pembacaan novel, yang cepat-cepat dikesat bilamana ada pelanggan datang kekedai, malu dilihat menangis membaca novel ah! Lama rasa tak membaca novel yang bisa menyentuh hati. Alhamdulillah baru sahaja selesai pembacaan nove Bidadari di Ujana Perjuangan, yang baru dibeli di kedai Darul Ansar Kuantan Parade semalam bersama dua buah lagi novel. Semalam membeli novel tiada dalam agenda saya ke Bandar Kuantan, sekadar menemani rakan tanpa tujuan sebenar. Saya hanya mengikut atas dasar berteman tambahan lama sudah tidak bertemu dengannya semenjak kali terakhir di pesta buku tahun lepas, dan hasrat dihati mahu melawat teman kami di sekolah dulu, yang baru melahirkan baby pertama yang tinggal berhampiran dengan Kuantan. Tapi tiada rezeki untuk bertemu kerana dia bercuti dan pulang ke kampung.

Pada asalnya saya tidak merancang untuk membeli buku, kerana pada hemah saya saya akan memborong habis-habisan buku di pesta buku nanti dan saya telah mula menyimpan duit untuk kesana. Tapi untuk kali yang kedua singgah kedai Darul Ansar akhirnya saya terbeli juga 3 buah novel. Ya terbeli! Kalau ikut bicara hati saya jarang membeli novel yang tidak saya kenali penulisnya. Saya biasa membaca novel tulisan Fatimah Syarha, Dr Farhan dan Kang Abik dan beberapa penulis Indonesia yang lain, jarang sekali membeli novel penulis lain, kerana seakan tawar hati dengan pembacaan novel sebelum ini yang tidak banyak membantu mencari diri.

 Tetapi kali ini ketiga-tiga novel yang saya beli penulis yang berbeza dan saya tidak pernah membaca mana-mana karya penulis tersebut. Cuma satu daripadanya saya pernah mendengar sahabat-sahabat berbicara tentangnya dan mereka tak sabar untuk memilikinya. Apatah lagi bila terperasan buku itu saya terus membelinya, dan sebuah lagi saya tergoda dengan cover buku yang cantik, dan yang baru saya habiskan pembacaaannya tadi sekadar terdetik untuk memilikinya walaupun terdetik dihati, best ke novel nie? Ppada asalnya kami menyinggah di kedai buku itu untuk mencari novel ‘Aku Ada Wali’ yang dicari oleh teman saya itu, yang mendakwa ianya buku baru! Tapi serasa saya cerita itu adaptasi dari Tautan Hati barangkali, saya tak pasti kerana latar belakang persekitaran yang berbeza antara novel tersebut dengan drama Aku Ada Wali yang disiarkan dikaca tv, saya tidak mengikuti drama tersebut!

Saya jadi cemburu kepada penulis yang masih mudah, sebaya adik saya. Mampu mencorak penceritaan novel sebegitu rupa dan menyentuh hati nurani saya yang keras tapi berjiwa sensitive kadangkala. Dan seakan membuat saya berputus asa untuk terus menulis. Ya kerna saya tak mampu menulis sesuatu yang mampu menyentuh hati orang lain? Macamana mahu jadi seorang penulis jika tiada kemampuan utnuk menulis dan mencorak sebuah penulisan yang ‘hidup’? Saya sungguh tak tahu..tapi tetap juga saya meneruskan penulisan ini, untuk apa? Sekadar mahu menulis….


Wednesday, February 12, 2014

Kau Yang Maha Tahu...

Terilham dari  sebuah lagu setelah sekian lama tak mendengar lagu nie, kadang lagu mampu sentuh hati... hati akan terasa bilamana lagu tu kena dengan keadaan diri...



Insan sering mencari-cari jawapan akan setiap persoalan yang berlegar diruang kehidupannya, walhal dia sudah sedia termaklum jawapannya telah terjawab dalam setiap kalam dari Tuhan buat kekasihNya beribu tahun yang lampau. Cuma sahaja insan itu yang lupa, dilupa dan sengaja melupakankan malah mengabaikannya dalam meniti  kefanaan dan keasyikan dunia ini. Cari terus mencari, gelap hati mohon diterangi namun dilupa penyuluhnya telah dibuang sepi. Rentak kehidupannya tersasar jauh dari pedoman seorang insan bertuhankan Maha Penyayang!  lantas tarian dan irama akhlaknya jauh dari mengikuti sunnah baginda!

Namun insan tetaplah insan, yang tak semuanya lahir sempurna dan semua lurus jalannya, ada langkah serong  yang pernah diambil dan berulang lagi ke jalan yang terpesong dan mengundang penyesalan berulang kali sehingga merasakan sulitnya untuk kembali lagi…

Saat disapa hatinya, seorang insan kembali kepada TuhanNya  tak seharusnya dia tergoda lagi dengan tawaran ‘dunia’ yang selalu membutuhkan jiwa-jiwa  yang tenang kembali kepada pentas kerakusan berpaksikan harta, pangkat, darjat, kuasa dan segala kepentingan nafsu dunia!

Setelah sekian lama merasa diri berdosa, dosa yang tak pernah padam dari diri seorang manusia, insan! Dosa yang membelenggu diri kadang berat untuk dipikul kerna itu seorang manusia perlu kembali kepada Tuhannya, kembali ke asalnya fitrah bertuhan! Insan berjanji memperbaiki diri dari setiap kekurangan, semoga tak tersilap lagi langkahannya, maka terdetik dihatinya untuk sujud ke pangkuan yang esa! Memohon ampunan dari ilahi, ampunilah hambaMu ini yang berdosa!

Dewasakanlah pemikiranku yang tak semegah  mana
Salah silap ku berkarya moga diampunkan… Astaghfirullah!





 ‘Kau Yang Maha Satu’ unic…

Terkapai-kapai diri dihanyut arus waktu
Kegelapan hati yang sering buat ku keliru
Dalam menguji pergolakkan emosi diri
Tak siapa tahu ada yang memerhati
(Mencari yang Maha Satu itu yang ku tuju)
Di dalam menjalani tiap dugaan yang diberi
Membawa pengertian hidup yang abadi
Tanpa perlu menipu diri sendiri
Yang menjadi lumrah duniawi
Seandainya ada yang memberi ruang
Akan ku baiki setiap kekurangan
Oleh itu diri memerlukan
Petunjuk dariMu oh Ilahi
(Kau yang Maha Satu)
Diriku kini masih tercari-cari
Jawapan disetiap persoalan ini
Ku akui kesalahan dibuat segalanya
Gelap jadinya ku terima seadanya
(rap)
Ku cari terus ke situ
Itulah lampu hidupku
Terangilah gelap hatiku
Ku pohon restu dariMU
Akan ku baiki setiap kekurangan
Oleh itu diri memerlukan
Petunjuk dariMu oh Ilahi
(Kau Yang Maha Satu)
Asal tidak tersilap langkahku
Tiba-tiba berbisik namaMu oh Ilahi
Terdetik di hatiku untuk sujud ke pangkuanMu
Memohon ampun dariMu
Tak seharusnya ku tergoda lagi
Dunia ini yang sesat membuntukan jiwaku
Kini ku mengakui teguranMu
Yang membuat ku sedar siapa diriku ini
U.N.I.C.C.A.T
(rap)
Tak semua lahir sempurna tak semua lurus jalannya
bermulalah cerita dan dijadikan cerita
Dengan izin Yang Maha Esa wujud
Aku cinta dan cita
Segala yang ada bermula dari maha Esa
Aku akui ada langkah serongku tak lah hasratku setajam itu
Yang amat ku risau lidah mu jadi banjiri
Fitnah melilau-lilau
Tuhan lindungilah dia dari kata-kata jahat itu
Doa-doa di pohon sentiasa setiap masa
Ampunilah dosa-dosa semasa daku ke sana
Dewasakanlah pemikiranku yang tak semegah mana
Salah silap ku berkarya tak pernah ku salah guna
Kau Yang Maha Satu (4x)



Monday, February 10, 2014

“Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMU” 3


Astaghfirullahal’azim…  xjauh saya tinggalkan pembacaan sebelumnya, kini saya berhenti lagi untuk menulis. Menarik! Kisah yang diceritakan sekali lagi buat saya terfikir..jauhnya saya dari jalan menuju keredhaan Tuhan.  Dalam bab “Pengorbanan seorang Adam”  sangat menyentuh hati kecil ini setelah tadi tersentak dengan perihal anak yatim dan kisah lainnya yang buat mata ini tak betah untuk menumpahkan setitis demi setitis air mata kesedaran dan penyesalan tentang diri. Kisahnya saya lanjutkan dengan bahasa penulisan saya yang masih bersimpang siur ini ya.

Ianya tentang kisah 3 sahabat yang pada zaman remajanya bermasalah dan merasakan ada yang tidak kena dengan diri mereka, mengambil keputusan untuk menamatkan persekolahan dan berkelana ke negeri orang untuk mencari jawapan kepada persoalan mereka. Dan kembara mereka menjengah ke Turki, yang selama ini mereka anggap orang Turki adalah ganas, tetapi sebaliknya mereka jatuh hati dengan sikap dan layanan orang Turki yang sangat memuliakan tetamu dan menghargai mereka. Dan selapas beberapa minggu mereka merasakan ada perubahan yang amat ketara pada diri mereka bertiga seolah-olah telah bertemu ketenangan yang mereka cari selama ini. Meraka  duduk berbincang dan menyimpulkan bahawa, setelah melihat perbezaan kelompok diantara penduduk Turki dengan segolongan yang lain, mereka yakin Islam lah yang mecorakkan sebahagian Orang Turki sangat tinggi budi pekerti mereka. Selepas kembali ke London mereka bertiga bertiga turut kembali kepada fitrah islam dan mengucapkan syahadah. Setelah kembali kepada islam mereka bertiga berbincang tentang masa depan mereka untuk melakukan sesuatu yang besar dalam hidup mereka. Jonathan membuat keputusan ke Balkan, Kevin membuat keputusan ke Yaman untuk menuntut ilmu dan Adam masih di London kerna amanat dan janji yang dibuat untuk sahabatnya. Kevin telah setahun melanjutkan pengajian dan Jonathan telah selesai perjalanannya di dunia ini, dia syahid di bumi jihad.




Kisahnya belum habis, dan tatkala Adam menyatakan kekesalan tentang dirinya yang belum mampu menjejak langkah seperti sahabatnya itu, kerana apa? Adam telah menunaikan amanah yang dibuat kepada sahabatnya untuk menjaga kedua ibubapa mereka, kerana tidak sanggup membiarakn orang tua mereka sendirian tanpa anak mereka disisi dan Adam telah memikul tanggungjawab tersebut. menjaga kedua ibubapanya sendiri dan bergilir mejaga ibu bapa Kevin dan Jonathan, yang dengan kehadiran Adam mungkin bisa melunakkan rindu mereka kepada anak mereka masing-masing. Namun yang menjadi beban buat Adam ialah dia masih belum mampu memberitahu kedua ibubapa Jonathan tentang kematian anak mereka. Namun kegusaran terbesar dihatinya adalah kerana dia belum mampu mencapai apa yang dicapai oleh sahabatnya yang telah syahid dan seorang lagi sedang menuntut ilmu di negeri orang, yang dianggapnya kejayaan besar buat diri mereka. Namun dirinya masih disitu tanpa berbuat apa-apa… kisahnya saya habiskan disini. Kerana tak pandai untuk mengolah menjadikan ia sebuah cerita yang menarik!


Sesungguhnya syahid itu amatlah menjadi impian semua orang untuk berjuang di jalan Tuhan dan merupakan tiket ke syurga tanpa hisab? namun walau sekuat manapun keinginan itu hadir  ia bukan bukan pilihan kita untuk mati syahid atau pun tidak tetapi ia adalah pilihan Tuhan untuk orang-orang yang telah ditakdirkan untuk terpilih. Dan menuntut ilmu juga adalah perkara besar yang sangat dituntut oleh agama supaya menuntut ilmu ke negeri cina dan sampai ke liang lahad, ia adalah simbolik betapa kepentingan ilmu itu perlu dalam melestarikan manfaat untuk diri, agama dan ummah. Kerna itu insan sering berlumba-lumba dalam kedua perkara tersebut, namun yang sering dilupa adalah apa yang telah Adam lakukan buat memenuhi impian sahabatnya dan menunaikan amanah yang telah dibuat, iaitu menjaga kedua ibu bapanya dan ibu bapa sahabatnya itu.  Berbakti kepada kedua ibu bapa itu yang sering dianggap remeh dan di entengkan oleh sebahagian daripada kita, bukankah begitu? Astaghfirullahal’azim…. Mulianya Adam dengan pengorbanannya kerana perihal itu juga termasuk dalam perkara yang Rasulullah anjurkan kepada sahabat, apabila ditanya apakah perkara utama perlu dilakukan oleh mereka untuk mendapat keredhaan Allah? Berbaktilah kepada kedua ibu bapamu yang masih hidup…jawab baginda.

Lalu bagaimana kita pada hari ini, merealisasikan impian di dunia untuk apa? Adakah 3 perkara diatas menjadi salah satu daripada agenda kehidupan sementara kita di mukabumi ini? semoga ya!

Saya tamatkan pembacaan “Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMU” buat kedua kali tanggal 8 feb 2014 yang saya catitkan di mukasurat akhir buku ini, rupanya lebih setahun buku ini saya tinggalkan setelah pembacaan pertama selesai seperti yang tercatat di laman akhir iaitu 13 mei 2012. Saya ingat! Bermakna buku ini dibeli semasa saya berpraktikal di Jabatan Pertanian Kuantan pada 2012, semasa pesta buku tahunan di PWTC berlangsung, saya mintak cuti 2 hari semata-mata ke pesta buku, tak sabar untuk sekali lagi pergi pada tahun ini, saya telah siap menabung untuk itu dan merancang pergi bersama teman saya, Liza, seperti tahun lepas. Inshaallah!

~esoknya yang telah menjadi hari ini dan semalam~

Saturday, February 8, 2014

“Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMU” 2

~hari ini~

Alhamdulillahh..saya menyambung pembacaan  saya hari ini, dan terhenti disini untuk menulis sesuatu yang terlintas diminda saya. Membaca kisah yang dikisahkan oleh ustaz Hasrizal banyak yang menyentuh hati saya terutamanya pengkisahan tentang kembalinya seorang insan kepada fitrah asalnya kepada islam, beberapa kisah tersebut berjaya menyentap hati saya dan menggenangkan air di kelopak mata untuk menjiwai dan merasai perasan kembali kepada Tuhan. Apa tidaknya, kita sebagai muslim yang diperturunkan kadang sukar memahami dan menghayati rasa dan hidup bertuhankan Allahurabbi! Namun kadang perasaan itu kan hadir tikamana kita kembali kepadaNya saat waktu kita telah merasakan betapa jauhnya kita dengan Dia dan betapa banyaknya kita abaikan urusan agama dalam kehidupan kita. Pasti jiwa yang tenang kan kembali kepada Tuhannya dengan rasa kehambaan yang menjentik hati kita, yang dengan jiwa yang tenang kita mampu bermuhasabah dan berfikir akan keadaan diri kita sendiri.


Sebenarnya pembacaan saya terhenti kerana ini:

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan mengadu tentang hatinya yang keras. Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mahu hatimu menjadi lembut dan kamu memperolehi apa yang kamu hajat? Kasihilah anak yatim, tepuk-tepukkan kepalanya dan beri ia makan apa yang kamu makan. Ia akan melembutkan hatimu dan membantumu memperolehi apa yang kamu hajatkan”, (riwayat Tabarani dan Silsilah as-sahih)

Astaghfirullahala’zim… saya  tersentak dengan ayat tersebut, sebelum ini saya pernah bertanyakan kepada seseorang tentang bagaimana nak lembutkan hati, dan sungguh saya merasakan hati saya kini semakin keras, dan bukan saya ingin mempersoalkan tentang itu, hanya kerana soal anak yatim yang disebutkan diatas. Semasa di university saya sangat berkeinginan untuk bersama badan kebajikan atau sukarelawan yang berkaitan dengan soal kebajikan anak yatim, tapi saya tak pernah berpeluang dan mengambil peluang yang ada semasa di university hanya kerana diri saya yang lemah. Tetapi saya lupa barangkali semenjak di tahun satu pengajian diploma lagi peluang tersebut sudah ada di depan mata. Kerana, dirumah saya di kampong telah ada 4 orang anak kecil seusia satu tahun hingga 11 tahun yang merupakan anak saudara saya sendiri yang berstatuskan anak yatim. Tapi dimana saya ketika itu?

Saya di perantauan…waktu saya dengan mereka hanya di sela-sela cuti semester, dimana saya yang akan menjadi pengasuh anak saudara yang masih kecil tika itu, namun kadangkala tak lama, kerana saya akan ke kuala lumpur untuk bekerja sambilan dengan kakak disana yang memerlukan khidmat saya. Cuma bila pulang kembali pasti saya tidak akan lupa untuk membawa ole-ole untuk mereka. Sekarang mereka telah besar panjang, yang dulunya setahun jagung kini danmenjengah 9 tahun bagi anak bongsu, anak saudara yang masa kecilnya saya jaga, peluk dan cium kerana fitrah manjanya si anak kecil. Tapi kini seusia dia 9 tahun kini kemanjaan tersebut jarang saya layan. Si kecil yang dulu saya tatang, kini minta saya buatkan air milo untuknya, saya tolak keras..beberapa kali dengan alasan dah besar pandai buat sendiri kan? apabila diminta saya jarang menunaikan, tapi bilamana tidak diminta saya tidak kekok untuk memberi…atas situasi sikap mereka. Astaghfirullah… rasanya setahun kebelakangan ini baru saya benar-benar berada dalam jangka waktu yang panjang dirumah selepas begraduasi pada 2012, dan berkelana diawal tahun 2013.

Astaghfirullah hadith diatas benar-benar menyentap hati saya yang gersang barangkali dengan empati dan kasih sayang. Saya tahu diri ini payah untuk menunjukkan perasaan kasih dan sayang kepada seseorang. Payah buat saya untuk itu…kerana saya tidak pandai atau mungkin saya tidak tahu atau ada ego yang tak mahu ditundukkan barangkali… barangkali kerna itu hati saya sekeras ini…Astaghfirullah, benar saya perlu bermula dengan hadith tersebut, kerana dirumah ramai insan yang perlu saya jaga hati dan perasan mereka terutamanya emak yang semakin menjengah usia.

saya belum menghabiskan pembacaan, mungkin akan ada cerita lain yang bakal menjengah ke sini...



“Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMU”

Bismillahhirohmanirohim…

Hari ini memulakan penulisan di bulan februari, huhu tentang apa ya? Sungguh diketika saat menulis ini tiada idea khusus yang bermain difikiran. Saya baru menyemak tulisan saya tentang  al-quran dan pertanian, ia bukan tulisan ilmiah, sekadar cicipan seorang insan yang hanya mahu berkongsi, masih belum  siap sepenuhnya kerana saya tak mampu  mengaitkannya kerana masih banyak yang saya tak tahu tentangnya. Kebelakangan ini saya kurang menulis tapi Alhamdulillah saya dah menghabiskan bacaan untuk kali kedua buku “Beduk Di Ketuk” dan ”Jangan Berhenti Berlari” disela-sela masa terluang di kedai. insyaAllah akan dibicara lanjut untuk penulisan akan datang, dalam fasa membaca  “Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMU” juga untuk kedua kali…



Masih diawal pembacaan, tetapi teruja untuk menulis diketika idea datang tatkala sedang membaca. Saya suka membaca, kerana bilamana membaca kan hadir ilham yang kadang buat diri saya berfikir dan dan berzikir! Ya kadang membaca buat saya teringat akan kenangan semalam yang buat saya muhasabah diri kembali dan kadang dengan membaca saya mampu merencana masa depan saya yang masih kesamaran dalam pencarian. Dan kerana itu saat saya begini, saya mahu menulis untuk tidak melupakan apa yang bermain difikiran saya, jika tidak dilayan kadang idea dan ilham yang baik akan saya abaikan tanpa sebarang tulisan dan kebaikan buat rujukan diri saya. Sudah beberapa kali saya abaikan idea dan ilham yang bertandang ketika membaca dengan alasan mahu baca sampai habis dan membuat kesimpulan keseluruhan tentang buku tersebut, yang akhirnya tidak saya laksananakan. Buku-buku tulisan ustaz hasrizal adalah salah satu koleksi yang saya jadikan belian wajib jika ada keluaran baru. Tapi rasanya buku Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMU” satu-satunya buku ustaz hasrizal yang ada berada ditangan saya. Selebihnya saya pinjamkan dan wakafkan… kerana tidak tahu keberadaannya dimana. Huhu…

Sebenarnya tadi idea saya untuk menulis tentang penulisan beberapa penulis yang saya minati dan buku-buku yang saya miliki, tetapi kini saya sudah hilang kata tuk dinukil…dan saya berhenti disini.

~Semalam~ cont....

Friday, February 7, 2014

Ternyata disitu indah!

MAKA NIKMAT TUHANMU YANG MANAKAH YANG ENGKAU DUSTAKAN?



Sungguh kan? Masa sangat pantas berlalu, meninggalkan kenangan semalam yang masih segar diingatan. Rasanya tak lama meninggalkan alam persekolahan, zaman dimana ‘handset’ bukan keutamaan, internet bukan kegilaan. Dizaman awal persekolahan rendah, semuanya indah bersama teman-teman dekat tanpa gajet semasa, hanya berteman dizaman itu cukup untuk kami seadanya. populasi yang sedikit membuat kami akrab namun masih ada pergaduhan kecil tanda umur masih diawal usia. Zaman yang paling dirindu tatkala umur semakin meningkat, kenangan terindah tanpa pernah memikirkan tentang kekesalan walaupun ada perkara yang dikesalkan.

Dan saat awal remaja mengenal kehidupan dialam persekolahan menengah juga kadang indah, tapi sungguh dialam tersebut tak banyak memori indah dikutip, tak banyak pengalaman berharga dialami. Sekadar kehidupan biasa sebagai manusia biasa, tiada apa-apa! Rutin harian yang berulang-ulang, tiada apa2 makna! Mengenal insan yang tak pernah menjadi teman. Berteman tapi tak peroleh keindahan berteman, berkawan tapi tak pernah ada pengertian. Teman sekadar di pinggiran. Kehidupan sebenar saya hanya bermula seawal ditingkatan 5, kerana disitu awal saya mengenal erti persahabatan dan kehidupan berasrama dan mengenal lebih ramai insan. Disitu banyak memberi memori indah buat saya walaupun rutin hariannya masih sama namun mengenal ramai orang lebih membuat hati saya berbunga, hehe. Ternyata disitu tetap indah!

Dan saat menjejak kaki ke menara gading yang bukan menjadi impian saya di peringkat awal diploma, disitu saya menemukan insan dan ilham dalam sebuah makna kehidupan yag lebih bermakna buat saya bersyukur, namun jiwa saya masih kosong tika itu kerana sendirian dalam jalan perubahan. Tak punya sahabat tuk meluah rasa, tak punya teman tuk berharap, hanya berteman tapi tak dimengerti. Saya masih kekok untuk memulakan perkenalan dan persahabatan dengan insan yang tak dikenali, seperti dulu. Dan ketika itu adalah saat perkenalan saya dengan dunia maya, disitu banyak merubah saya dari sudut ilmu dan iman. Sendiri menjalani hari-hari sepi hanya penuh harap pada Dia, dan inspirasi dari insan yang tak dikenali menyentuh hati ini untuk terus istiqamah dalam perubahan, walaupun hanya sekadar melihat dari jauh dan pengharapan pada Dia, masih berharap disana ada harapan. Ternyata disitu juga indah!


Erti kehidupan yang lebih bermakna hanya dirasai ketika berada di university impian dan berada disamping insan-insan dambaan hati, di peringkat ijazah! Sungguh disitu segalanya bermula, pertemuan-demi pertemuan dalam organisasi persatuan dan Jemaah disurau mewujudkan ukhwah dan persahabatan yang sangat indah, tahun demi tahun mengenal semakin ramai insan semakin membuat hati ini bahagia, insan pergi dan datang bersilih ganti namun jauh disudut hati masih ada kekosongan jiwa yang belum terisi dan sendiri tidak memahami apa rasa itu? Teman sekuliah tak ramai yang menyentuh hati tuk bersama selamanya, kerana masing-masing punya agenda sendiri dan tetap saya seperti selalu bergerak keseorangan, tak mahu terlalu bergantung harap kepada teman. Namun takdirnya tetap ada yang dekat disisi dan dihati yang mahu mengerti dalam kebersamaan di perantauan. Pengalaman yang paling bermakna dan terindah dirasa, namun masih ada jauh disudut hati kerinduan pada rasa sebuah pencarian yang dulu pernah dirasai, tatkala segalannya terasa indah tika itu! Dan ternyata disitu sangat indah!

Dan tika ini, setelah sekian lama zaman itu ditinggalkan masih sahaja memarutkan keindahan saat mengingatinya. Segalanya punya hikmah disebalik takdir Tuhan yang telah dilalui dan bakal menanti, sungguh tika ini masih saja rasa sendiri walaupun kembali kesamping keluarga sendiri, masih saja merasa lain. Dan semestinya rasa ini tak seperti dulu…bersama teman taulan pastinya tak sama walaupun dengan keluarga sendiri. Tetap ada kerinduan pada kenangan masa lalu namun sungguh tak tahu bagaimana untuk menyemarakkan rasa ukhwah dan persahabatan tanpa ada sebuah pertemuan! Rasanya tak mampu untuk terus istiqamah di jalan dakwah dan di medan islah tanpa teman dan sahabat disisi…hanya yang mampu kulakukan tika ini hanya ini, menulis dengan sedikit ilham dan ilmu yang ada tuk mengubat rasa rindu dihati dan kesendirian kini.


Sungguh manusia takkan pernah bersyukur dengan keadaan dirinya…sehinggalah saat dia menyesali segala kehidupannya didunia…tatkala berada di medan akherat yang abadi…Astaghfirullahal'azim...

Thursday, January 23, 2014

TENTANG CINTA...???

Bila ku ditanya soal cinta…?


Pasti aku akan terkedu untuk menjawabnya..pasti ! kerana aku kan keliru..jawapan bagaimana untuk harusku rungkaikan…? Cinta apa yang ada pada diri seorang aku? Cinta yang satu itu yang selalu ku omongkan tiap saat dan ketika? Cinta pada sang pencipta agungku… spesifiknya cinta aku pada manusia… aku sendiri tidak pasti tahap mana cinta dan apa makna cinta aku pada mereka? Dan sejujurnya aku tak faham makna cinta itu sendiri..kerana aku tak pantas merealisasikan cinta dalam hidupku…apalah maknanya cinta? Suatu ketika dulu aku pernah terobsesi dengan istilah cinta…asal saja membeli buku pasti tentang cinta! Asal mendengar lagu juga pasti tentang cinta! Mendengar kuliah agama juga tentang cinta! Asal menonton movie ah pasti tika itu ceritanya aYat-aYat cinta, ketika cinta bertasbih atau kisah cinta islamik lainnya!!

Cinta islamik yang disuguh dan diomongkan di lewat bicara, segalanya tentang cinta, sungguh aku tak pernah merasainya namun aku begitu obsess dengan kata cinta… tapi kini aku seakan sangsi untuk melafaz kata cinta itu… jadinya aku ‘stuck’ disini…kerna aku tidak tahu apa itu cinta…? Bagaimana rasa cinta itu… yang pernah menyapa sungguh hanya keinginan untuk mencintai Dia…walaupun aku sendiri kaku dalam amalku dan kelu dalam zikirku…sesungguhnya cintaNya yang ingin ku dambakan dan cinta orang-orang yang mengasihi dan mencintaiNya… tapi bagaimana untuk aku merealisasikan nya aku sendiri masih mencari jawapannya…

Aku cuba mencari definisi cinta:

Cinta (love) secara bahasa adalah suka sekali dan senang sekali. Cinta secara istilah ialah rasa kasih sayang yang muncul dari lubuk hati yang terdalam untuk rela berkorban, tanpa mengharap imbalan apapun, dan dari siapapun kecuali imbalan yang datang dan diridhoi Allah.

Nah! Maknanya aku tidak pernah mencintai seseorang seperti itu…andai itu dikatakan cinta, bererti aku tidak pernah merasai cinta…betulkah begitu? Kerana seingat aku, tidak pernah timbul rasa kasih dan sayang dari lubuk hati seorang aku untuk rela berkorban tanpa mengharapkan imbalan apapun. Kalau begitu, kasih dan sayang apa yang aku ada untuk insan-insan yang dekat dan aku kasihi katanya… kerana sentiasa ada dalam hatiku rasa memberontak dan mendambakan sesuatu daripada mereka, perhatian dan kasih sayang daripada mereka untukku kembali… lantas itu bukan cinta? Mungkin…aku harus berusaha lebih kearah cinta hanya untuk mendapat keredhaan Allah!

Urusan jodoh, berkait rapat dengan cinta! Benarkah? Sekali lagi aku tak pasti jawapan yang pasti kerana aku tak pernah mencintai seorang lelaki sebagaimana makna cinta manusia yang pernah mengalaminya dan menginginkannya. Bilamana ditanya seorang sahabat dengan situasinya tentang jodoh aku kelu lidah untuk memberi komentar, kerana aku bukan ahlinya…selayaknya mereka yang telah melalui proses tersebut yang  ditanya. Jika ditanya pada aku pasti salah maksudnya…pasti!

Tentang jodoh itu sesungguhnya urusan Tuhan, namun manusialah yang membuat pilihan atas pilihan yang diberi Tuhan buat mereka…  Apakah peningkatan umur membuat seorang wanita, ‘desperate’ untuk menerima sesiapa sahaja yang dekat dengannya sebagai bakal suami? Jadi jika sesorang itu tidak punya pilihan, hanya seorang insan yang pada pandangannya dekat dan merupakan jodohnya, apakah pantas dia katakan itulah jodohnya…? Dan andai dilakukan istikharah sekalipun, pasti lelaki itulah yang muncul di dalam mimpi dan angannya.

Dan seandainya kelak tatkala ikatan sah telah diraih, bilamana berlaku masalah dalam rumahtangga, siapa yang harus dipersalah? Sewajarnya mereka yang membuat pilihan itu yang harus dipersalah, kerana merka telah membuat pilihan yang salah? Bukankah itu dikatakan takdir? Jodoh itu takdir, ya takdirnya begitu atas pilihan yang kita perbuat. Jadi andai yang tidak berjodoh bagaimana ya? Tiada pilihan yang perlu dibuat atau bagaimana? Mungkin belum jodohnya? Jodoh itu perlu diusahakan…

Aaghh! Jodoh sahajakah yang ada di mukabumi ini? Cinta sahajakah yang bernadi di dunia ini? Asyiknya manusia berbicara tentang cinta, tentang jodoh! Selayaknya hanya itukah yang didamba manusia seluruhnya? Soal jodoh, soal cinta itu sering dimomokkan! Andai aku tak punya cinta… andai aku tak berjodoh…tamatkah riwayat seorang aku di dunia ini..?


Cinta itu aku tak mengerti…kadang datang dan pergi…kadang sedar dan terlupa diri..
Hanya kerana cinta…cinta itu bukan segalanya…mungkin suka dikata cinta…
Sedang suka tak semestinya cinta…cinta pula banyak halnya…
Banyak tahapnya dan banyak pula pengertian nya…CINTA?
Bukanlah suatu yang perlu dimengerti…namun dirasai..
Tapi bagaimana nak merasakan cinta tanpa erti..?
Biarkan saja… tentang cinta!
Biar saja pemilik cinta itu yang menebarkan cintaNya…buat hamba yang tidak mengerti….
Agar saat dan waktu ketika ia bisa dimengerti telah wujud cinta dihatinya…
Biarlah cinta itu dari Sang Pencipta Agungnya…Allahurabbi!


*Bicara tanpa banyak fikir tanpa ilmu yang tepat...pasti sahaja ada salahnya! Astaghfrullahal'azim...


Thursday, January 9, 2014

~Cerita kedai ko (pi) mputer...~

Alkisah....


Datang seorang customer membawa sebuah 'tab'

Dalam hati: 'aah sudah..' kerisauan biasa bila ada customer datang..

"adik tolong tengok 'tab' akak, nie haa tak boleh tutup akak tekan butang off pun dia tak nak tutup juga, akak dah tekan banyak kali dah tak jadi juga, anak akak tengah2 main game, dia 'jammed' akak risau gak nie takot rosak ape-ape" , kata akak tu dengan penuh risau.

'jap saya tengok...'  dan tekan butang off lama-lama,  Alhamdulillah jadi pun.

"Alhamdulillah, lega akak, akak dah buat tadi, tekan jugak tapi tak jadi pun, dia nak tangan adik juga yang tekan baru jadi... berapa?"

"takpelah kak, saya tekan je pun..."

"Alhamdulillah, terima kaseh dik"

"sama-sama, takde apalah kak"

akak tu keluar dengan anaknya dengan muka happy dan lega, Alhamdulillah!

Dan kemudian setelah naik kereta, tiba-tiba anaknya keluar dari kereta dan masuk balik kekedai, membawa 'angpau' dan memberinya kepada saya.

"mak bagi kat akak"

"eh, takyah-takyah, akak bukan buat apa pun.. amik balik"

Dan kami pun sempat main kejar-kejar dalam kedai tu...dan last nya,

“adik ambik duit nie, akak bagi kat adik balik.. okey setle..”

Saya bawa adik tu keluar dan tutup pintu..haha.. bye2..

Senyum je la adik yang comel tu..dan berlari ke kereta maknya yang sedang mengangkat tangan tanda terima kasih sekali lagi..

Subhanallah...Masyaallah...

Saja bercerita sebab rasa seronok jer dapat tolong orang…

“Jadikan aku orang yang bermanfaat kepada orang lain dan terutamanya keluargaku sendiri Ya Allah…”


Wednesday, January 8, 2014

CERITERA BUKU...

SNAP!


Alhamdulillah..hehe, tadi sebelum datang kerja sempat selongkar rak buku kat rumah...hajatnya nak bawa 2 or 3 buah buku kat tempat kerja...kononnya nak buat mini library kat tempat kerja.. itulah antara buku yang terpilih untuk dibawa.. yang elok, sebabnya ada ada buku yang kotor dan berbau...huhu, sebab kelembapan dan basah akibat banjir sebelum nie... Alhamdulillah kebanyakannya dah habes baca! dan buku terpilih kat atas tu pun sebenarnya dah abes baca cuma yang dua dari bawah belum habes, sebab masa mulakan pembacaan tengah takde mood kot, jadi tak sempat bace, so masa yang terluang akan diisi untuk membacanya...

Sempat 'posing' kan buku-buku tu nak ambil gambar ye...hehe! bercerita tentang buku...saya suka membaca bacaan santai, seperti buku diatas, sebab mudah faham, dan kena pada hati dan tak ambil masa yang lama untuk saya habiskan pembacaannya...kalau novel lagilah cepat jer nak habiskan... tujuan bawa buku tu kat tempat kerja sebabnya nak ulang baca..supaya melekat kebaikan dan ibrah yang ada dalam buku tu untuk di adaptasikan dalam kehidupan dan tulisan saya seterusnya... manusia kan mudah lupa, rasanya saya sendiri dah lupa apa yang dibaca sebelumnya. 

Sebabnya sikap saya tak suka mengulang baca buku-buku yang telah saya habis baca, mungkin ada 1 atau 2 buku yang buat saya suka untuk mengulang pembacaaannya seperti buku-buku tulisan Dr Aidh, yang saya suka 'Jangan Melampaui Batas' dan 'La Tahzan' sebab buku tu adalah buku pertama yang buat saya jatuh cinta dengan buku! tapi rasanya dah lama tak membaca buku-buku tulisan Dr Aidh Al-Qarni, dulu masa zaman diploma kat UMT, suka pergi kedai Buku Banggol kat bandar Kuala Terengganu sebab banyak koleksi buku Dr Aidh kat situ dan kebanyakan buku Dr Aidh dibeli disitu.Selain itu pada zaman tersebut saya meminati novel-novel islamik dari indonesia karya Kang Abik, fenomena Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih bermula disitu. Selepas berhijrah ke UPM, kebanyakan buku-buku  dibeli di pesta buku dan saya mula memilih untuk membaca daripada kepelbagaian penulis dan genre yang lebih bermotivasi!

Saya memilih buku kadang melihat keatas penulisnya, yang biasa saya baca saya takkan ketinggalan untuk membelinya lagi jika ada keluaran baru, kadang saya melihat tajuk dan isi dalamnya yang menarik untuk dibaca dan saya rasa mampu untuk menghabiskan pembacaannya, dan kadang saya membeli  buku semberono melihat kepada 'cover' yang cantik dan menarik, dan kadangkala saya membeli buku yang dicadangkan oleh seseorang untuk membelinya dan menghadamkannya. ada juga buku yang dibeli kerana terikut dengan sahabat-sahabat yang membelinya..huhu. 

Dan saya bukan jenis orang yang suka mengumpul buku sekadarnya sahaja..Alhamdulillah kebanyakannya telah habis dibaca dan semoga ada manfaatnya untuk saya. dan pasti ada sebahagiannya yang belum habis dibaca, huhu itu kelemahan saya kerana buku-buku tersebut sangat mencabar minda dan mood saya untuk membacanya. Semoga saja diberi kekuatan untuk terus membaca dan menghadam pembacaan dari setiap buku yang saya miliki tika ini.. Dan semoga beroleh manfaat dari setiap pembacaan saya juga idea dan ilham  untuk terus menulis dengan penulisan yang bermanfaat juga!

Semoga dipermudahkan, insyaAllah!

Sekian bicara tentang buku...

~d_n~
12.59 p.m