Friday, May 2, 2014

Dari buku Cerita Cinta Ahmad Ammar...

Bismillahirahmanirahim…


Alhamdulillah, masih diberi kudrat tuk menarikan jemari ini ke papan keyboard yang agak unik dan keras butangnya untuk saya memulakan sebuah penulisan yang tertangguh!


Dari buku Cerita Cinta Ahmad Ammar yang usai saya baca pada hari ini tanggal 30 april setelah memulakan pembacaanya semalam. Saya  bukanlah seorang penukil kata dan kalam yang indah bait bicaranya untuk mengulas tentang buku ini, namun secebis rasa yang ingin dikongsi bersama agar tidak luput dek ingatan yang tumpul ini saat suatu masa nanti. Kerna nanti  saya mungkin bakal melupakan tentang kisah ini, Ibrah dan pengkisahan dari buku ini tentang peribadi seorang Ammar yang baru saya kenali saat memulakan pembacaan buku ini. 

Ya kisahnya yang menjadi fenomena saat dijemput Tuhan di bumi Turki dalam sebuah perjuangan menuntut ilmu dan saya hanya mengetahuinya di facebook yang sedikit menyentap hati kecil yang masih dalam kelalaian tika itu. Sekejap cuma ia membekas dihati, dan saya dilekakan lagi dengan kehidupan yang fana itu. Dan disaat buku ini keluar ke pasaran saya masih tak punya rasa kerna tak lagi memilikinya, cuma terdetik dihati , saya mesti memilikinya dan Alhamdulillah kini ia telah berada ditangan saya!

Semoga saja pembacaan ini  sentiasa segar dalam  ingatan dan menyentap lubuk nurani kecil saya yang sentiasa kalah dengan dengan nafsu sendiri! Sebaiknya saya abadikan rasa ini dalam bentuk tulisan yang mungkin suatu masa nanti bakal di rujuk kembali perasaan saat pembacaan buku ini, dan santapan-santapan rohani yang telah berjaya membuka minda dan hati saya yang semakin kabur dengan keduniaan yang fana ini! inshaallah!

Fasa pertama pembacaan saya lebih menyentuh hati kerana ia kisah rasa hati  ibu dan ayah kepada seorang anak dan kakak kepada adik, insan-insan terdekat yang telah mencorak peribadi seorang Ahmad Ammar! Sempat membuat saya cemburu dengan fikrah dan fitrah yang mereka zahirkan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang insan dan individu yang bermanfaat kepada ummah!

Dimana saat dan tika ini diluar sana masih ramai orang yang sedang terleka dan dilekakan dengan dunia yang hanya membuat hati semakin resah gelisah! Permasalahan yang tak berkesudahan  dari kecil sehingga besar tak pernah melepaskan diri dari cengkaman  keduniaan! Dunia tak pernah menzalimi manusia sebaliknya manusia yang sering menzalimi diri mereka sendiri!

Saat Ammar pergi dijemput Ilahi, dengan kisah perjuangan yang menyentap hati-hati yang sedang leka, penghijrahannya kealam yang kita tidak mampu bayangkan dan rasai lagi tika ini, kita masih lagi dibelenggu masalah dunia yang setiap hari meminta-minta tuk dilunasi. sedang persiapan akherat kita bagaimana? Dan hijrah apa yang telah kita lakukan untuk bertemuNya nanti?

Saat umurnya Ammar diawal 20 an, telah digelar syahid! Kita yang telah melepasi umur tersebut apa yang telah kita usahakan? Generasi remaja  kini dimana? Masih diasyikkan dengan kisah cinta korea yang membius urat nadi remaja dan lewat remaja malah yang berjiwa dewasa juga!

Sungguh saya masih tidak tahu bagaimana mahu menghadapi dunia ini? Berhadapan dengan manusia sekeliling yang amat memerlukan perhatian malahan diri sendiri tak mampu tuk dikawal dan diredakan dengan sebuah ketenangan hati! Bagaimana mahu berubah andai sabar belum terserlah dan marah belum mampu direbah! Bagaimana mahu membina keluarga dan ummah andai diri masih lagi dalam dilema hati yang tak berkesudahan? Astaghfirullahala’zim…

Saya bukan mahu menceritakan lebih lanjut tentang buku ini melainkan hanya berkongsi rasa hati dan melahirkan dan menitip kembali ingatan tentang kisah Ammar yang semakin dilupakan sebahagian daripada kita dan saya sendiri…Sungguh jika memiliki buku ini sendiri dan menghayatinya kisahnya adalah lebih baik!

  d_n
300414


No comments: