Hijrah apa yang perlu saya
lakukan? Tentang hijrah… rasanya sudah lama tidak melakukan sesuatu hijrah yang
besar. Ya samada hijrah tempat mahupun
hijrah dari sudut perubahan diri. Seawal kelahiran saya 27 tahun yang lalu,
1987 itulah penghijrahan pertama saya dari alam Rahim kealam dunia yang saya
tidak ingat bagaimana perasaannya, tapi kini bila memikirkannya semula tentang
fasa wujudnya diri saya, syukur Alhamdulillah kerana dilahirkan dari keluarga
Islam dan mengenal Allah itu sebagai Tuhan, Alhamdulillah Allah itu
Tuhanku…Tuhan sekalian alam ini!
2004:
Hijrah yang pertama
saya buat tanpa saya sedari pada awalnya ia adalah sebuah hijrah, semasa di
tingkatan 5 buat pertama kali saya mengambil keputusan untuk tinggal di asrama,
pertama kali hanya untuk tahun terakhir saya bersekolah. Kesannya sangat besar
buat diri saya walaupun pada tika itu saya tidak merasakan kesan daripada
hijrah tersebut, yang saya rasa tika itu Cuma seronok dengan suasana baru
tersebut, pengalaman tinggal di asrama merupakan memori yang paling bermakna
dalam menbentuk peribadi saya tika itu, walaupun saya belum terdetik untuk
sebuah perubahan disitu, tapi titiknya saya rasa bermula disitu!
2005-2008:
Seterusnya
penghijrahan besar juga buat saya, apabila diiterima masuk ke sebuah Kolej
universiti ketika itu untuk pengajian diploma selepas SPM yang tak sebagus mana
itu..(hihi). Tawaran IPTA yang datang tika itu saya terima selepas kesempatan 2
hari melayari kehidupan sebagai pelajar tingkatan 6 di Sekolah Sultan Ismail,
Kemaman. Pertama kali juga duduk jauh dengan keluarga walaupun masih dalam
negeri Terengganu tapi jaraknya juga bukan dekat untuk saya selalu pulang
kerumah, hanya cuti panjang baru saya akan pulang kerumah. Disitu sedikit
sebanyak saya memulakan penghijrahan dari sudut pemakaian, dan pencarian ilmu
yang bukan sekadar di dewan kuliah, tapi masih ditahap permulaan baru bertatih
rasanya… hanya harapan-harapan yang berbunga dihati sendiri. Disitu masih payah
tuk berlari, langkahan demi langkahan yang lambat saya ambil untuk sebuah
perubahan dan penghijrahan diri.
Disitu istilah
‘suka’ bertandang kedalam hati untuk sebuah penghijrahan yang saya tak tahu
bila akan terjadi pada saya tika itu. Suka melihat orang pakai tudung labuh,
pakai jubah tapi saya masih malu untuk pakai t’shirt labuh ketika itu yang saya
beli daripada seorang kakak semasa semester dua. Saya beli Itupun kerana
kebetulan berada disurau, dan seorang kakak ‘mempromotekan’ baju tu untuk saya,
bermula semester dua juga saya mula memakai stoking dan stongan, dan baru mula
melangkah kaki ke surau kolej yang satu aras dengan bilik saya tika itu. Saya
bermula agak lambat dan mengambil masa yang lama untuk sebuah perubahan.
Semester 3 bermula, saya sudah jauh dari surau itu dan insan-insan yang belum
sempat saya kenal dekat. Kerana system kolej disitu begitu, dua semester sahaja
dibenarkan tinggal di kolej selebihnya perlu sewa rumah yang berdekatan dengan
kampus. Untuk dapat ‘stay’ kolej kena bergiat aktif dalam aktiviti kolej
mahupun persatuan.
Daripada pemakaian tudung pula, daripada tudung segitiga dan bawal yang
biasa saya pakai semenjak saya mula bertudung bertukar ke tudung bidang 45 dan
lebih tebal semasa ditahun-tahun akhir pengajian diploma, saya masih belum ada
kekuatan untuk memakai tudung labuh tika itu, cukup syarat tutup aurat sahaja. Itu semua berlaku ‘step’ by ‘step’
sepertimana yang saya baca dalam blog islamik seorang ‘sis’ tentang tips perubahan, yang banyak memberi
inspirasi kepada saya tanpa dekat dengan mereka pun, semasa saya tak punyai
sahabat tuk berkongsi rasa tentang sebuah perubahan hanya membaca nukilan dan
tulisan mereka cukup buat saya terinspirasi, malah jika dapat melihat wajah
mereka juga tetap buat saya tenang walaupun sekadar dari jauh.
Asbab kepada perubahan tersebut saya pun tidak ingat, mungkin kerana
daripada pembacaan bahan-bahan islamik yang semakin menambah ilmu saya dan
pemerhatian terhadap insan-insan sekeliling saya yang menarik minat untuk lebih
mendalami islam yang selama ini saya abaikan, dan semestinya yang utama kerana
hidayah Allah untuk menjadikan saya lebih baik, Alhamdulillah!
2008-2012:
Alhamdulillah
sekali lagi, Allah memperkenankan doa dan harapan saya untuk sebuah penghijrahan.
Saya diberi peluang menyambung pelajaran ke Universiti Putra Malaysia, ia
universiti impian saya semestinya, saya pun tak tahu kenapa UPM menjadi pilihan
saya?? Mungkin kerana bidang pengajian yang saya minta dan minati ketika itu
sangat bertepatan dan kena dengan UPM. Semestinya saya tidak tahu bagaimana
‘flow’ kehidupan saya tatkala menjejakkan kaki pertama kali di daerah asing
itu, kembaraan saya yang akan berlangsung selama 4 tahun di situ. Yang pasti
saya tidak gembira rupanya di awal perkelanaan saya di negeri baru, ditempat
baru itu. Ya! Saya selalu menyesali tindakan saya tika itu kerana diawalnya
sangat sulit dan payah untuk saya membawa diri dan selalu perbandingan dibuat Antara
tempat baru dan lama, sering bertanya pada diri kenapa itu dan kenapa begini?
Kenapa saya pilih untuk berada disini? Takdir? Bukankah itu pilihan yang saya
buat?
Tapi jika
ditanya adakah saya menyesal tika ini kerana membuat pilihan tersebut? pastinya
saya akan menafikannya kerana saya sangat bersyukur dengan pilihan tersebut dan
menghargai pengalaman berada ditempat baru dan mengenali sahabat-sahabat baru
serta menambah ilmu baru dalam kehidupan yang saya tak pernah bayangkan
sebelumnya. Alhamdulillah!
Ye disitu,
saya melakukan transformasi yang boleh dikatakan yang besar dalam hidup saya.
Disitu saya mendapat kekuatan dan diberi kemampuan untuk melakukan sesuatu yang
saya tak pernah terfikir untuk buat dan tak pernah terbayangkan sebelum saya
berada disitu. Ya segalanya bertambah disitu dibumi hijau UPM itu, saya mula
memakai tudung labuh, mula berjinak memakai jubah bermula tahun kedua
pengajian. Ye, kekuatan itu hadir kerana saya bersama dengan sahabat-sahabat
yang saya cintai ketika itu. Mereka tidak pernah menyuruh saya untuk memakai
tudung labuh mahupun jubah apatah lagi memaksa. Ditambah standard pemakaian
saya ketika itu sudah memenuhi ciri-ciri menutup aurat, dan sememangnya saya
telah memakai stoking dan stongan juga di tahun kedua semasa di UMT dulu.
Panjangkan
tempoh waktu yang saya ambil untuk melakukan sebuah perubahan dan peningkatan
kepada yang lebih baik. Sama seperti memakai baju labuh, stoking, dan stongan
yang saya pakai dulu, perasaan ‘malu’ dan segan selalu bermain dalam hati saya.
Malu dan segan itu bukan kerana pakaian tersebut dianggap kolot mahupun apa,
tetapi seakan saya masih belum layak untuk berpakaian seperti itu. Saya belum
cukup baik untuk untuk itu, perasaan itu yang selalu hadir dalam diri saya tika
itu, tetapi Alhamdulillah saya tetap istiqamah dengan pemakaian tersebut
setelah saya yakin dan mengambil keputusan untuk perubahan tersebut sehingga ia
sebati betul dengan jiwa saya kini.
2013-2014:
Saya semakin
menyedari bahawa diri ini semakin kejauhan, sangat jauh… sememangnya jauh dari
teman dan sahabat semasa di alam kampus dulu, jauh juga dari medan dakwah dan
tarbiyah, sungguh sendirian ini amat meresahkan jiwa. Tapi saat ini, saat hati
disantuni Ilahi, buat diri ini ingin sekali lagi berhijrah! Kemana? Bagaimana? Sungguh
saya tidak tahu…Tetapi ada sesuatu yang berlegar-legar diruang hati untuk dilakukan, cuma masih belum berkeyakinan dan berkemampuan untuk dilaksanakan. Semoga dipermudahkan hijrah saya ini…Tetapkan hati hambaMu ini
Ya Rabb! atas jalan kebaikan dan jalan-jalan orang yang Engkau cintai…
No comments:
Post a Comment