Alhamdulillah! Ramadhan telah
menjengah hari ke-5, semoga sahaja
diberi kesempatan dan kemampuan untuk terus berada dalam keberkatan Ramadhan
sehingga ke akhirnya… Ramadhan! Kali ini pasti berbeza seperti tahun-tahun
sebelum ini yang kulalui di perantauan. Bermula tahun ini aku menyambut
Ramadhan di rumah selepas 10 tahun kurang lebih aku berpuasa di perantauan. Sungguh! entry kali ini hanyalah secebis ingatan dan pengalaman tentang Ramadhan seorang aku yang hanya merindu saat tika dulu...
Kali pertama aku tidak menyambut
Ramadhan bersama keluarga bermula semasa di tingkatan 5, kerana tahun itu aku
tinggal di asrama, itulah kali pertama yang memberi kenangan terindah kerana
itu juga kali pertama aku tinggal di asrama. Menyambut Ramadhan bersama
teman-teman sangatlah bermakna ditambah itu pengalaman pertama berterawih
ditempat asing bagi seorang aku. Biasanya berterawih di surau dekat dengan
rumah, sejak kecil begitu sehinggalah tingkatan 4. Jadi keterujaanku sedikit
bertambah apabila menyambut Ramadhan di asrama, kadang kami berterawih disurau
sekolah dan kadangkala berjalan kaki beramai-ramai ke masjid berdekatan dengan
sekolah, Itu semua pertama kali buat aku. Ditambah lagi kehidupan berasrama dan
ketika itu Ramadhan sangat hampir dengan tarikh peperiksaan SPM. Dan pada tahun
itu aku beraya dalam mood peperiksaan, kerana selepas sahaja raya, Peperiksaan
SPM pun bermula. ( atau telah bermula semasa Ramadhan? sungguh aku dalam
kekeliruan! )
Kedua kalinya aku menyambut
Ramadhan di perantauan yang jaraknya lebih jauh berbanding sekolah. Saat itu
aku di KUSTEM (belum ditukar nama kepada UMT), tahun satu masih tinggal di
asrama, jadinya lauk pauk untuk berbuka masih dibeli seperti hari-hari biasa di
kedai-kedai yang dibuka didepan asrama. Ataupun di bazar Ramadhan yang
berdekatan. Berpuasa Ramadhan dinegeri sendiri masih menyeronokkan kerana makan
minumnya masih tak jauh lari dari lidah orang Terengganu, memang sedap! Hehe.
Terawih? Hanya di surau asrama yang kecil dalam blok asrama, kerana tika itu
belum ada surau besar, yang ada hanya surau dalam bolk masing-masing, jadinya
terasing lelaki dan perempuan. Hanya di tahun 2 atau 3 bangunan asrama yang
baru siap mempunyai surau yang lebih besar dan bercampur. Untuk tahun 2 dan 3
aku sudah tinggal di rumah sewa, dan untuk berbuka kami biasanya tak banyak
memasak pun, kebanyakannya beli di bazar Ramadhan dan biasanya untuk sahur
kalau rajin kami masak la sikit-sikit. Alhamdulillah rumah sewa kami dekat
dengan masjid KUSZA, jadinya kami kadang berjalan kaki dicelahan semak samun
yang menjadi ‘shortcut’ dari rumah ke masjid, itupun beramai-ramai. Kalau
berdua dengan kawan baik aku, kami’merempit’ jer dengan motor. Tapi yang pasti
saat Ramadhan tiba, aku pasti merindukan suasana Ramadhan di UMT, hehe kerana
makanan disana lebih sodap berbanding di UPM, dan lebih murah terutamanya nasi
kerabu ayam bakar.

Tapi untuk tahun 2012 aku
menyambut Ramadhan dirumah kakak di Ampang, sambil bekerja dengannya dan sambil
menghadiri kelas yang wajib aku ambil untuk mencukupkankan kredit untuk syarat
bergraduat pada tahun tersebut. Aku berterawih di surau Cempaka yang berdekatan
dengan rumahnya, disini juga diadakan tazkirah sebelum solat terawih. Cuma kadang-kadang kalau rasa rindu, jika ada
kelas aku akan ke UPM dan melepak sepanjang hari disana selepas habis kelas,
kadang ke perpustakaan, kadang ke fakulti, kesurau serumpun dan masjid dan
kadang ke bukit ekspo menunggu waktu berbuka dan bersolat terawih disana dan
kadang aku menumpang di rumah sahabat jika malas nak ‘merempit’ ke Ampang , dan
kadang selepas terawih aku terus sahaja ‘merempit’ ke rumah kakak meredah
suasana malam dengan motor merah ku itu. Untuk tahun 2013 juga aku masih
menyambut Ramadhan di Ampang kerana masih bekerja disitu.
Cuma tahun ini 2014.
Alhamdulillah tak berada di perantauan lagi, aku kini berada dekat dengan keluarga…dan semestinya
menyambut Ramadhan di rumah! Walaupun ada sedikit kesedihan kerana aku tahu
suasananya pasti tak semeriah menyambut Ramadhan di KL, kerana disana tersangat
banyak majlis ilmu yang diadakan untuk menjamu rohani, tapi disini, dikampung
ini.. pasti berbeza! Dan saat ini aku telah melalui Ramadhan ini disini, Alhamdulillah
aku bekerja di kedai computer, makanya aku manfaatkan untuk mendownload
ceramah-ceramah Ramadhan untuk aku dengar
sementara masih ‘bercuti’ ini dan aku tahu bila dan dimana tak lagi
penting tuk ditangisi, kerna Ramadhan terus berjalan dan bakal pergi.. Maka
manfaat ini harus ku gunakan sebaik mungkin dalam mengatur waktu dan menambah
amalan serta menahan diri daripada melakukan dosa dan keburukan.
Semoga sahaja
Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik buatku di sepanjang kehidupan ini,
walaupun bukan lagi dibumi Serdang, or 'Kay El' walaupun bukan disamping sahabat dan
taulan, ianya tetap indah jika segalanya kerana Allah! in shaa Allah!
No comments:
Post a Comment