Thursday, March 13, 2014

KEMBALI PADA ALLAH!!

Bismillahirahmanirahim…

Innalillahi wainna ilaihi ‘rojiun… atas segala sebab musabab terjadinya sesuatu dukacita dan ujian buat makhluknya… saat ini Negara tercinta kita Malaysia, masih diselubungi pelbagai tanda tanya tentang kehilangan Pesawat MAS MH370 yang menggamat sepelusuk antero Negara. Sehingga kini saya sama sekali tidak pernah mengeluarkan statement yang berkaitan dengan kes tersebut. Iya.. saya sedar diri, saya bukan siapa-siapa yang ditunggu untuk sebuah pernyataan! Tetapi hari ini akhirnya saya menulis…untuk tatapan dan sejarah buat diri saya..bahawa kepedulian saya bukan hanya sekadar doa dan diam membisu, tetapi ia sepatutnya menjadi muhasabah buat diri saya sendiri jua akhirnya.

Sebuah kisah yang tiada sudah
Menadah pada manusia yang pelbagai wajah
Tiada kebenaran ditutur, tiada ketelusan terpancar
Hanya kata-kata tamsilan yang tiada benar

Alhamdulillah, pelbagai reaksi yang dapat dilihat dan pelbagai penrnyataan, teori dan fakta yang telah terungkap di media massa dan media social umumnya daripada orang-orang yang mempunyai autoriti untuk bercakap mahupun sekadar pandangan dan idea yang tercurah daripada rakyat marhain yang pelbagai latar belakang. Bahkan tak kurang juga barangkali ‘suara-suara sumbang’ seperti mana sedang saya lakukan ini yang tidak mendapat perhatian umum dan tatapan pembaca sekalipun tetap mahu menyumbang luahan rasa.


Ya telah saya baca, dan cuba tuk fahami setiap tutur kata dan bicara lantang mahupun bisu yang telah di utarakan. Tetapi tetap saja saya tidak mampu untuk menghadam semuanya kerana keterbatasan seorang insan yang kurang ilmunya dan keterbatasan seorang hamba dalam memahami maksud tersirat mahupun tersurat dari Tuhannya Yang Maha Mengetahui! Sungguh segala-galanya kembali kepada Dia!

Kehilangan yang dinanti kepulangan
Masih tiada tanda yang ditemukan
Bagaimana lagi harus dikatakan
Sesuatu yang tiada dalam pengetahuan…???


Sejujurnya, saya juga mempersoal-soal tentang banyak perkara dalam soal pengendalian kes tersebut, Cuma tidak diluah di pena..untuk siapa? Siapa yang akan menjawab andai persoalan itu ditimbulkan sekalipun… Hanya seisi rumah yang mendengar bebelan dari mulut saya dan daripada mereka juga saya mendengar bebelan-bebelan yang penuh persoalan dan ingin tahu yang lebih mendalam. Tapi ia sekadar itu… menonton berita di kaca tv, ulang alik benda yang sama.. tiada perkembangan tentang kehilangan. Hanya cerita dari versi dan orang yang berbeza tentang pendapat dan teori mereka…kesudahannya bertambah-tambah cerita! Itu ini kesitu kesini…juga! 


Di media social lain pula ceritanya, bertokok tambah dengan versatile setiap penulis… yang kadang di disusun atur mengikut versi islamik, versi politik, versi tahyul, dan pelbagai versi berbeza yang cuba ditonjolkan… Alhamdulillah bilamana peristiwa tersebut mampu dikaitkan dengan segala macam reality kehidupan yang lebih menjurus kepada kebaikan dan ketuhanan, namun amat malang bilamana versi khurafat dan tahyul di serap sekali kedalam misi pencarian. Belum mengambil kira teori-teori konspirasi yang berbaur politik dan andaian-andaian yang menjunam kepada keresahan dan perbalahan umat khususnya malah menambah kerunsingan dan kekeliruan yang besar kepada masyarakat amnya.

Hanya Dia selayaknya…
Yang Maha Mengetahui akan  kebenaran cerita
Pada Dia sahaja kita serahkan segala…
Mohon petunjuk pada yang Esa…


Astaghfirullahal’azim…Ampuni kami hambaMu yang hina  ini Ya Allah atas segala dosa yang kami lakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja… Andai apa yang berlaku ini adalah daripada salah silap kami sendiri, maka jadikanlah ia sebagai kafarah atas segala dosa-dosa kami dan tetap saja Engkaulah Tuhan sekalian Alam ini, dan segala yang tersembunyi daripada pandangan makhlukmu ini, Engkau Maha Tahu tentang itu. Dan Engkaulah sahaja satu-satunya Tuhan yang kami sembah dan hanya padaMu lah tempat kami bergantung harap dan meminta pertolongan… Jauhi kami daripada tipu daya manusia, jin dan syaitan kerana Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pembalas tipu daya..Berilah kami petunjuk daripadaMu Ya Allah…Amin…

~Hanya hamba yang dhoif~

    13/03/14 1.22 p.m


Alhamdulillah sebelum dan selepas menulis…dapat khatam surah thaha dan terjemahannya…sangat-sangat kena dengan situasi seorang hamba yang dhaif ini… Alhamdulillah hati masih mampu berbicara dan menghayati Kalamullah di ketika ini…Alhamdulillah atas nikmat nyawa yang masih ada…Alhamdulillah!!! Allah itu Tuhanku….

No comments: