Friday, September 13, 2013

Sebelum mata terpejam…


Bismillahirahmanirrahim… Alhamdulillah! Hari ini ulangtahun kelahiran ke 26 bagi saya! Subhanallah..26 tahun hidup di bumi milik Tuhan ini, sekali lagi Alhamdulillah atas segala nikmat  yang diberi selama kehidupan saya di mukabumi ini.

Di usia sebegini saya tidak menanti dan menunggu ucapan kelahiran dari sahabat dan keluarga, kerana bagi saya cukuplah ia mengingatkan saya betapa semakin singkat hayat saya di kehidupan dunia ini… ditambah pula saya bukanlah seorang yang penting untuk diingati kerana saya sendiri tidak ingat tarikh kelahiran sahabat dan keluarga sendiri (sebahagian). Saya tak pernah cuba untuk mengingatnya dan, sekiranya ingat dan tahu sekalipun saya tidak mengucapkanya apatah lagi menyambutnya, bagi saya cukup sekadar ingatan saya pada mereka dalam doa-doa saya kepada Dia.

Sedari tadi saya memerah idea untuk menulis…tapi saat dan tika ini di depan keyboard, fikiran saya entah kemana, apa yang harus saya tulis untuk manfaat diri saya pada masa akan datang?

Sungguh saya tiada apa-apanya dengan usia yang semakin meningkat itu tak banyak mana bakti yang telah saya berikan dan tak sebanyak mana rasa syukur yang saya lahirkan. Astaghfirullahal a’zim… sepanjang kehidupan ini hanya dosa yang banyak bertompok-tompok dalam hati dan terzahir pada peribadi. Berapa lama lagi saya bisa membilang usia seperti ini, dari setahun ke setahun yang belum pasti, dunia berputar cepat sekali kini… mati itu pasti dan kehidupan selepas kematian itu juga pasti, syurga neraka juga pasti… Cuma yang belum pasti kemana kita selepas itu?

Untuk lebih kepastian, dari sekarang bertaubatlah wahai diri , usah kembali kepada kesesatan yang berpanjangan kerana ketidakpastian itu sesuatu yang sukar untuk ditempuhi saat kesehatan tiada lagi berkeupayaan, disaat masa tidak lagi berkelapangan, disaat kekayaan tak mampu lagi membahagiakan, disaat usia semakin ditelan zaman, dan disaat kematian yang sesekali tidak ditangguhkan!

Baiklah..sebelum mata terpejam...dalam lena yang bakal menjengah esok hari ataupun tiada lagi kesempatan untuk membuka mata besok hari, segalanya dalam ketentuan Dia yang Maha Mengetahui... Namun hati kecil ini masih mahu berharap untuk berpijak di bumi tuhan, mengembara untuk memperbaiki diri dan ummah,  mengenal dan mengasihi setiap insan bersaudara, mengembang dan menyampaikan syiar islam di pelusuk dunia dan  bertemu Ramadhan-ramadhan yang akan datang! Lahaulawala Quwwatailla billah!

Tulisan ini sebagai hadiah buat diri saya sendiri bagi menghargai nikmat usia yang diberi Dia, harus untuk saya zahirkan segala kesyukuran tersebut, hargai diri pelihara peribadi tingkatkan prestasi tambahkan energi dalam setiap perkara yang dilakukan hanya karena Dia! inshaaAllah…

    d_n
13/09/2013
   jumaat

Monday, September 9, 2013

Lama rasa hati ini...


Lama rasa hati ini tak bicara pada hati
Hati yang lama gersang dek kealpaan
Hati bisu yang tiada bicara tentang kebaikan
Hati buta pada indah kalam kebenaran
Hati tuli dari mendengarkan nian pedoman

Lama rasa hati ini tak mendendangkan puisi
Puisi hati yang sering meluah rasa
Puisi tanpa bicara itu sudah lama tak kedengaran
Puisi yang menjadi oboran semangat tuk terus melangkah
Puisi hati itu berlagu sepi dek maksiat yang melanda hati

Lama rasa hati ini berdiam durja
Durja yang melanda jiwa yang kosong
Durja yang berombak resah bermain rasa
Durja hati yang dibelenggu dek keasyikan
Durja yang merasuk jati diri iman dalam diri

Lama rasa hati ini tak meluah rasa
Rasa sakit yang menekan ulu hati
Rasa yang bermacam rasa bersilih ganti
Rasa kehambaan yang telah lama hilang
Rasa manisnya iman yang kian tawar dek diri yang alpa


Lama rasa hati ini tidak seperti ini..kembali padaMu…Alhamdulillah!

20/02/2012
Inderamahkota 16

Rasa yang selalu datang dan pergi...kini datang lagi..semoga tak pergi lagi...

Ku mulakan sekali lagi!

Aku mula menulis dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… Bismillah!


Dengan titipan jari jemari yang menari di papan ‘keyboard’ aku belum pasti apa yang bakal ku tulis nanti, bergunakah? Untuk dititipkan kepada yang mahu mengambil pelajaran bahkan untuk rujukan ku sendiri suatu masa nanti. Semoga ya! Sepertimana tulisanku sebelum ini, ku tak tahu sejauh mana ia dibaca ataupun diterima oleh mereka yang diluar sana, tapi ianya sangat berguna untuk menarik aku kembali saat aku lupa dan leka. Bilamana menelaah tulisan-tulisan ku yang lama kadang mampu untuk menggertak jiwa yang semakin jauh meninggalkan keistiqamahan aku suatu masa dulu. Kadang mengetuk pintu hati yang semakin lalai dengan hiburan yang dulu tak pernah aku hiraukan. Bagaimana aku dulu dan sekarang melalui tulisan ku sendiri sudah boleh ditebak, penyampaian dan pengharapan dalam setiap tulisan aku benar-benar dari hati yang sangat mengharapkan tuhannya..tiada lain. Tapi betapa jauhnya aku telah meninggalkan kebaikan-kebaikan yang ada pada jiwa ku senidiri, ku abaikan segala santunan hati yang mudah tersentuh kepada kebaikan. Astaghfirullah! 

Huhu.. sekian lama tidak menulis, seakan kaku tuk memulakan tarian jemari ini... sedari tadi aku mahu menulis tentang sesuatu yang ku temukan dalam simpananku semenjak 3 atau 4 tahun yang lepas. tulisan tanganku didalam buku-buku nota yang pernah menemani hidupku di alam kampus dulu, tapi ku abaikan dulu, kerna masih banyak yang perlu di 'edit' untuk mengurangkan 'kebodohan' dan kecelaruan yang timbul... kerana bila aku membacanya semula, jelas sekali nampak ketidakmatangan pada usia ku tika itu...dan aku sendiri malu membacanya..haha..nampak gayanya aku tak mampu meneruskan tarian di keyboard, tapi tetap ada tulisan yang telah ku siapkan untuk rujukan ku sendiri suatu masa nanti! 

Manusia itu punya akal untuk berfikir..punya hati untuk merasa… punya anggota yang ‘full ‘ manfaat sepenuhnya yang dicipta Tuhan untuk kita gunakan, antara dua sama ada kebaikan atau kejahatan… itu bergantung pada hati dan akal yang mahu berfikir… punya iman untuk membuat pertimbangan.  Seringkali mendengar manusia berkata, belum dapat hidayah untuk berubah dari sesuatu keburukan kepada kebaikan. Dan ada ketika mereka berkata, kenapa saya tak jumpa seseorang yang boleh ubah saya dulu, kalau lah dulu.. kalau lah… itu juga yang melanda jiwaku waktu dulu. Dan sering kali manusia itu menunggu-nunggu waktu dan saat ketika mana keaadaan mahupun musibah ataupun sesuatu berlaku kepada dirinya baru mahu berubah dan memulakan langkah. Bahkan perlu diketuk, disepak terajang baru mahu sedar, baru mahu berubah. Bukan kah itu yang sering terjadi dalam hidup kita… saat sakit mula ingat Dia… saat susah baru mahu kembali kepada Dia… saat resah gelisah, parah  ditarah tusukan duri dunia baru mahu tinggalkan segala keduniaan yang selama ini menjadi tuhan dalam kehidupannya.

Manusia sememang begitu, mudah lupa yang sering disapa dengan lalai dan leka lalu alpa pada hasutan dan kehendak nafsu yang beraja. Dan sememangnya fitrah manusia untuk kembali kepada Tuhannya… namun sebetulnya tidak perlu diketuk, ditempeleng dengan ujian-ujian dunia, manusian punya akal dan hati bukan? Seperti bicara kita diatas… bila akal berfikir…akan ada jawapan kepada setiap persoalan jiwa yang bermasalah, bila punya hati… saat hatinya sakit  , perasaan dan naluri kemanusiaan itu pasti merasa jauh dari Tuhannya, maka imannya mendorong hati untuk kembali kepada sebuah penyesalan dan pertaubatan hati. Maka dia pasti kembali kepada rasa kehambaan kepada tuhan yang menciptakan dia dari air mani yang hina sehingga menjadi manusia yang dewasa. Dan kini teguh berdiri di dunia ini dengan ihsan dari tuhannya yang menggerakkan segala anggota pada dirinya untuk berfungsi.  La haulawalaquwwataillabillah….

Harus menunggu saat dan tika mana lagi ? bukankah saat dan ketika ini dunia semakin menghampiri pengakhirannya? Bukankah umur yang semakin meningkat menjadikan singkatnya hayat kehidupan kita di dunia ini? Harus menunggu apa lagi? Apa? Astaghfirullahal a’zim… aku kembali padaMu tika ini dan saat nyawa benar-benar sudah sampai waktunya, kembalikan aku ke syurgaMu…

6/9/13
1.19 pm

* aku mahu kembali menulis!  inshaaAllah...semoga istiqamah! fighting!!!